Saturday, April 5, 2008

Sajak Buat Seorang Teman

Sajak buat Teman

jangan cinta kerana dia lelaki.. kelak kita akan membenci.. jika dia bukan lelaki yang dicari.. hanya pandai menabur janji..
jangan dirindu pada paras rupa.. kelak kita akan terseksa.. jika dia tidak sebaik rupanya.. senyumnya manis tipu belaka..
jangan disayang kerana berharta.. kelak kita hidup menderita.. jika hartanya habis dibelanja.. sukarnya hidup miskin dan papa..
jangan dikasih kerana dipuji.. kelak kita menagih janji.. jika rupa berkedut dimamah hari.. hilang sudah puji memuji..
jangan dicari seorang kekasih.. kelak kita akan disisih.. jika kasih luntur bersih.. menangislah diri hidup bersedih..
jangan disambut salam rindu.. kelak kita menahan sendu.. jika rindu tak dapat disatu.. dimanakah akan kita mengadu..
jangan dilayan seorang teman.. kelak hidup menjadi ancaman.. jika teman tidak beriman.. dibakar api dihari kemudian..
wahai sahabat wahai teman.. carilah dia kerana Tuhan.. untuk menambah ceteknya iman.. bekalan diri hidup berteman..
wahai sahabat wahai teman.. cintailah dia kerana beriman.. dijadikan Tuhan sebagai pasangan.. baik buruk ketentuan Tuhan..
wahai sahabat wahai teman.. terimalah dia penuh keikhlasan.. andai buruk anggaplah dugaan.. andai baik pujilah Tuhan..
wahai sahabat wahai teman.. ingatlah akan janji Tuhan.. isteri yang baik besar balasan.. suami penyabar itulah kemenangan..


Pantun Adat

Pantun Adat

Lebat daun bunga tanjung
Berbau harum bunga cempaka
Adat dijaga pusaka dijunjung
Baru terpelihara adat pesaka

Gadis Acheh berhati gundah
Menanti teruna menghulur tepak
Gula manis sirih menyembah
Adat dijunjung dipinggir tidak

Manis sungguh gula Melaka
Jangan dibancuh dibuat serbat
Sungguh teguh adat pusaka
Biar mati anak jangan mati adat

Anak teruna tiba di darat
Dari Makasar langsung ke Deli
Hidup di dunia biar beradat
Bahasa tidak dijual beli

Menanam kelapa di Pulau Bukum
Tinggi sedepa sudah berbuah
Adat bermula dengan hukum
Hukum bersandar di Kitab Allah

Buah berangan di rumpun pinang
Limau kasturi berdaun muda
Kalau berkenan masuklah meminang
Tanda diri beradat budaya

Laksamana berbaju besi
Masuk ke hutan melanda-landa
Hidup berdiri dengan saksi
Adat berdiri dengan tanda

Berbuah lebat pohon mempelam
Rasanya manis dimakan sedap
Bersebarlah adat seluruh alam
Adat pusaka berpedoman kitab

Ikan berenang di dalam lubuk
Ikan belida dadanya panjang
Adat pinang pulang ke tampuk
Adat sirih pulang ke gagang

Pokok pinang ditanam rapat
Puyuh kini berlari-lari
Samalah kita menjunjung adat
Tunggak budaya semai dihati

Bukan kacang sebarang kacang
Kacang melilit si kayu jati
Bukan datang sebarang datang
Datang membawa hajat di hati

Budak-budak berlari ke padang
Luka kaki terpijak duri
Berapa tinggi Gunung Ledang
Tinggi lagi harapan kami

Helang berbega Si Rajawali
Turun menyambar anak merbah
Dari jauh menjunjung duli
Sudah dekat lalu menyembah

Angin kencang turunlah badai
Seumur hidup cuma sekali
Tunduk kepala jatuh ke lantai
Jari sepuluh menjunjung duli

Gobek cantik gobek cik puan
Sirih dikunyah menjadi sepah
Tabik encik tabiklah tuan
Kami datang membawa sembah

Doa mustajab selalu terkabul
Kepada Allah kita panjatkan
Sebelum berlangsung ijab dan kabul
Majlis berinai kita dulukan